Thursday, June 14, 2012

Pas Selangor sokong gesaan tangguh haji

14 Jun 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Pas Selangor menyokong kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli parti itu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya, menangguhkan ibadah haji bagi menghadapi pilihan   raya umum yang dijangka antara September hingga Oktober.

Pesuruhjayanya, Dr Abdul Rani Osman berkata, beliau menyokong kenyataan tersebut kerana rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menentukan masa depan negara walaupun pilihan raya diadakan pada musim haji.

“Kita merujuk hukum Fiqah Awliyat ditakrifkan oleh Dr Yusuf al- Qaradhawi iaitu apabila terdapat dua perkara penting, kita perlu memilih perkara yang lebih berkepentingan.
“Menunaikan haji sememangnya penting kepada umat Islam  tetapi hak untuk menentukan kepimpinan negara adalah lebih penting,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada musim haji bagi memastikan pilihan raya berlangsung telus dan adil.

“Kerajaan sepatutnya memberi peluang kepada rakyat untuk memilih dan tentukan masa depan mereka sendiri dan bukan cuba menghalang dengan pelbagai helah,” katanya.

Menurutnya lagi, Pas tidak akan melakukan sebarang provokasi dan mengangkat senjata seperti yang didakwa Barisan Nasional (BN).
“Pas tiada masalah jika kalah kelak kerana kami biasa kalah sebelum ini dan tiada sebarang kejadian  tidak diingini berlaku, rakyat sudah cukup matang untuk bertindak,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya mendakwa Umno-Barisan Nasional menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU13 pada musim haji tahun ini.

Kenyataan ini juga disokong oleh Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw yang menegaskan PRU13 ketika musim haji akan mengganggu urusan ibadah umat Islam di negara ini.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/pas-selangor-sokong-gesaan-tangguh-haji-1.56503

No comments:

Post a Comment